Saturday, December 8, 2012

HUBUNGAN PERCINTAAN


Cinta adalah satu perasaan atau keadaan emosi yang tegang kerana individu yang dilamun perasaan cinta akan sentiasa memikirkan tentang temannya. Cinta merupakan fenomena ganjil yang harus dialami oleh manusia walaupun sekali dalam seumur hidup.

Keinginan untuk sentiasa hidup dengan teman itu tidak dapat dikawal. Ia juga sentiasa menyatakan sesuatu yang tidak realistik tentang temannya. Akibat daripada perasaan ini, kedua-dua insan yang bercinta akan kurang berinteraksi dan berjumpa dengan teman-teman lain, sebaliknya tumpuan diberi terhadap teman yang dicintai itu.

Percintaan didorong oleh beberapa faktor seperti kecantikan dari persepsi seseorang, kedekatan fizikal, umur, agama dan bangsa yang sama.

Dalam percintaan, pelbagai pengalaman dirasai oleh seseorang itu. Salah satunya adalah perasaan intim iaitu keinginan untuk sentiasa berdampingan dengan temannya. Pengalaman keghairahan juga sering dirasai. Keghairahan dan keinginan untuk menjadikan teman sebagai objek kasih-sayang itu sering wujud dalam hubungan yang sedemikian. Pengalaman cinta juga melibatkan keinginan untuk mengadakan sesuatu keterlibatan iaitu bagaimana untuk mengekalkan perasaan cinta antara satu dengan lain. Kesemua pengalaman dan perasaan ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk  kombinasi dan setiap kombinasi akan memperlihatkan variasi di antara satu cinta dengan cinta yang lain.

Cinta terbahagi kepada lapan jenis iaitu cinta berahi, cinta sahabat, cinta bodoh, cinta sempurna, cinta romantik, cinta kosong, perasaan suka dan tiada cinta langsung. Kesemua bentuk cinta ini tertakluk kepada kombinasi perasaan serta pengalaman cinta.

Jika hanya keghairahan yang dialami tanpa perasaan keinginan untuk hubungan intim serta kewajipan, maka ia dikenali sebagai cinta berahi. Cinta ini sering berlaku kepada remaja yang ingin mempelajari dan memulakan hubungan percintaan.

Jika perasaan intim dan kewajipan itu wujud tanpa mempunyai apa-apa perasaan berahi, maka ia dikenali sebagai cinta sahabat. Perasaan kasih kepada sahabat karib, ibu bapa dan adik-beradik lazimnya mempunyai kedua-dua perasaan ini. Sememangnya  seseorang itu sering hendak berdamping dengan yang dikasihinya serta akan menjadi satu kewajipan untuk mengekalkan tali kekeluargaan atau persahabatan.

Cinta bodoh berlaku apabila seseorang itu bercinta dari jauh dan lazimnya percintaannya berada dalam keadaan yang tidak menentu. Hanya komponen ghairah dan kewajipan yang ada tetapi tanpa perasaan intim iaitu tidak ada keinginan untuk berdampingan.

Cinta sempurna mempunyai ketiga-tiga komponen dan hubungan percintaan terjalin dengan penuh bermakna. Cinta ini akan dimanifestasikan melalui perkahwinan dan kekal hingga ke akhir hayat kerana wujudnya sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Cinta romantik mempunyai komponen intim dan berahi tetapi tidak ada keterlibatan di antara kedua-dua individu berkenaan.

Cinta kosong, hanya terdapat keterlibatan sahaja tanpa dua perasaan yang lain.

Jika hanya ada ‘suka’ sahaja kepada seseorang itu maka perasaan intim itu sahaja yang wujud.

Jikalau tiada perasaan yang wujud langsung dalam diri seseorang itu terhadap seorang yang lain, ini bermakna tiada perasaan cinta yang dialami olehnya.





No comments: