Thursday, February 28, 2013

AYAH , BAGILAH BALIK TANGAN ITA

Assalamualaikum dan selamat petang....

Ikuti kisah ini dan jadikan pengajaran, ia amat berguna kepada ibu bapa mahupun yang bakal menjadi ibu bapa dan kepada sesiapa sahaja yang ingin melepaskan rasa marah. Sebelum buat mesti fikir terlebih dahulu dan kalau marah sekalipun biarlah berpada-pada.

Ita....nama panggilannya sejak dari kecil. Ita sangat minat melukis. Ibu dan ayahnya juga suka melihat lukisan Ita.

Suatu hari, Ita terjumpa sebatang paku karat ketika bermain buaian. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi tidak kelihatan kerana diperbuat daripada marmar. Ita tida puas hati. Dicubanya pula pada kereta baru ayahnya. Ya....kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi, kanak-kanak ini pun melakarlah dengan gembira dan melahirkan kreativitinya. Hari itu, ibu dan ayahnya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tidak disedari pembantu rumahnya, Narti.

Petang itu, terkejut besar ibu dan ayah Ita melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis dibayar, berbatik-batik.

Si ayah yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "siapa punya kerja ni?"

Narti yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, Narti menjawab perlahan “Tak tahu! Saya tidak tahu Tuan.”

"Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri pula.

Ita yang sedang tidur dibiliknya terjaga mendengar suara kuat ibu dan ayahnya. Ita begitu gembira dan tidak sabar menunjukkan lukisan terbaru kepada ibu dan ayahnya.

Dia berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan?". Ucapnya manja sambil terus menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar ayahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa meraung kesakitan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan. Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia juga sangat takut .

Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Narti segera memeluk Ita dengan penuh kasih sayang, cepat-cepat menggendong anak kecil itu dan membawanya ke bilik.

Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Menangis teresak-esak kedua-duanya di dalam bilik. Narti memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik kesan sebatan terkena air.

Narti kemudiannya menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama Narti. Rasa marahnya masih belum hilang.

Keesokan harinya, kedua-dua belah tangan Ita bengkak. Narti berasa bimbang dan mengadu kepada ayah Ita.

"Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya . Ibu dan ayah Ita bergegas ke pejabat tanpa menjenguk Ita di kamar.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik Narti. Kononnya mahu mengajar Ita.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu. Tanpa pengetahuan Ita, setiap hari ibu dan ayahnya akan bertanya kepada pembantu rumah.

“Ita demam”, jawab Narti ringkas.

“Bagi minum panadol dulu”, Balas si ibu.

Hati ibu Ita mula merindui gelak ketawa anaknya. Sebelum masuk bilik tidur pada malam itu, dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Dia menangis di luar bilik. Selalunya Ita akan mengadu dan tidur bersamanya apabila tidak sihat.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas.

"Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 kita pergi" kata majikannya itu.

Sampai waktunya, Ita sudah tidak bermaya. Ayahnya mulai risau dan terus membawa Ita ke klinik. Doktor mengarahkan supaya kes tersebut dirujuk ke hospital kerana keadaan Ita sudah serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil ayah dan ibu Ita.

"Tiada pilihan.." kata doktor yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk.
"Tangan anak tuan sudah bernanah teruk, demi keselamatan dan nyawa anak tuan, tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor.

Ayah dan ibu Ita bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan.

Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.
Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumahnya, Kak Narti. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata...

"Ayah.. ibu... Ita tak buat lagi. Ita tak mahu ayah pukul. Ita tak mahu jahat lagi. Ita sayang ayah.. sayang ibu". Katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti.." Katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis.... "Ayah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi!" Katanya sambil menangis tersedu-sedan.

"Ibu, Ita nak melukis macam mana buuu....?"

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

Pengajaran daripada cerita:

"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram dan marah anda...."


Wednesday, February 27, 2013

FATWA HUKUM UMAT ISLAM MENYAMBUT HARI KEKASIH

Assalamualaikum semua…

Sudah lama rasanya aku tidak update Blog, bukan apa Cuma ada sedikit kekangan berkaitan wifi. Post ni sebenarnya aku nak post sempena Hari Kekasih hari tu tetapi ada masalah-masalah yang tak dapat aku tangani menyebabkan aku tidak dapat update pada masa yang tepat. Jadi, hari ini aku update… mungkin ramai yang akan kata dah terlambat sebab tarikh tersebut dah lama terlepas tapi bagi aku, ia tak pernah terlambat kerana ia amat berguna untuk masa-masa yang akan datang.


Post ni bukan daripada aku sendiri tapi aku cari kat internet jugak, bukan apa… aku sendiri tidaklah terlalu bijak mengenai hukum, sebab itulah lebih baik aku cari info daripada sumber yang betul… copy dan paste. Copy dan paste dengan tujuan yang baik adalah tidak salah.


Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

Hari Kekasih”  yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dalam kalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

KEPUTUSAN FATWA

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :


Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut :

Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut.”

والله أعلم بالصواب


NOTA :  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.


Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat   menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.


Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.


Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.


Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.


Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari menginati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.


Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.


Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari senagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.